· Guests Online: 1
· Members Online: 0
· Total Members: 76
· Member TERKINI: Janet Tan
|
MAKLUMAN: Koleksi Petua & tips kesihatan ini adalah rujukan dari pelbagai media cetak dan elektronik serta lain-lain sumber. Keberkesanannya belum diketahui secara saintifik.
Oleh itu, kami tidak akan bertanggung-jawab jika petua dan tips kesihatan ini memberi kesan sampingan semasa/setelah mengamalkannya. Semoga kita mendapat manafaat bersama dalam mengamalkan petua-petua ini.
Membuat sambal yang sedap
Sambal yang sedap haruslah mengunakan cili kering. Cili kering digunting kecil-kecil bagi membuang bijinya dan lalu direbus seketika. Apabila sudah direbus cili tadi hendaklah ditoskan selama 20 minit. Kemudian cili kering itu digoreng di dalam minyak yang panas dalam masa 10 minit tetapi jangan terlalu garing. Apabila sejuk cili tadi hendaklah dimesin bersama minyak yang digoreng tadi dan disimpan di dalam peti ais. Ia akan tahan selama 3 minggu. Apabila ingin memasak sebarang sambal ianya tidak memerlukan minyak yang banyak dan masa untuk memasak sungguh sekejap dan kita akan dapat sambal yang sungguh sedap. Sambal yang kita masak cepat pecah minyak dan wangi
Harumkan Bawang Tumis
Bagi menaikkan bau wangi ketika menumis bawang putih, pastikan bawang putih itu dicincang dahulu. Untuk bawang merah pula, masukkan sedikit garam ketika menumis.
Mengempukkan daging
Kebanyakan daging yang di beli di pasar sukar menjadi empuk setelah direbus dalam masa yang lama. Bagi memudahkan daging menjadi empuk dalam masa yang singkat, cuba masukkan sedikit cuka makan ke dalam periuk ketika merebus daging tadi. Insya Allah daging akan menjadi empuk dalam masa yang singkat.
Merangupkan ayam goreng
Semasa hendak mengoreng ayam, perah sebiji asam limau nipis ke dalam minyak, kemudian masukkan ayam. Hasilnya ayam kita cepat rangup. Selamat mencuba
Hilangkan Bau Hamis Daging
Rebus daging sampai mendidih airnya. Biarkan terus sampai berbuih. Buangkan buih tersebut sedikit demi sedikit dengan menggunakan senduk sehingga buihnya habis. InsyaAllah dengan cara ini anda akan dapat mengurangkan kandungan kolestrol dan bau hamis daging.
Mengelak daripada nasi mentah
Sekiranya nasi yang anda masak mentah, anda jangan padamkan api. Buka tudung periuk dan tudung dengan plastik, kemudian baru tudung semula dengan tudung periuk. Tunggu selama 5 minit, insya Allah nasi anda akan masak.
Mengelakkan nasi yang dimasak cepat basi
Untuk mengelakkan nasi yang dimasak dari cepat basi, semasa anda membasuh beras kali pertama hingga ke tiga dengan menggunakan tangan anda. Selepas itu untuk kali ke empat bila anda masukkan air ke dalam beras itu anda tidak perlu lagi menyentuh air tersebut walaupun untuk mengukur. Bagi tujuan mengukur anda perlu mengagak sahaja.
Untuk mempercepatkan kacang hijau yang direbus kembang
Untuk mencepatkan kacang hijau yang direbus kembang untuk dijadikan bubur, masukkan satu atau dua sudu minyak masak ke dalam rebusan kacang tersebut dan lihatlah hasilnya. Tak perlu tunggu lama untuk kacang tersebut kembang.
Nasi Lemak Cepat Masak
Jika ingin nasi lemak cepat masak, masukkan sebatang garpu atau sudu ke dalam periuk nasi yang bakal di masak. Biarkan di dalam beras sehingga nasi masak. InsyaAllah nasi lemak cepat dimasak.
Jika nasi hangit
Tugas memasak bukan sahaja dikhaskan untuk perempuan malah lelaki pun kadang kala terpaksa memasak terutamanya orang bujang. Tetapi pada masa kini biasanya kita memasak nasi menggunakan periuk elektrik. Namun ada ketikanya cara lama juga digunakan. Jika kita memasak nasi dan secara tidak sedar nasi yang kita masak itu hangit tentulah menyebabkan selera kita berkurangan. Untuk mengatasi masalah nasi hangit, ambil segelas air dan masukkan gelas yang berisi air tersebut ke dalam periuk nasi. Biarkan selama 10 minit. Kemudian angkat gelas, Insya Allah nasi tersebut tidak berasa hangit lagi.
Merangupkan ayam goreng
Selalunya ayam yang digoreng tidak rangup setelah lama diangkat dari kuali. Untuk mengekalkan kerangupan ayam goreng cuba masukkan sebiji telur ayam ketika mengaul ayam bersama garam dan kunyit. Setelah itu gorenglah ayam seperti biasa.
Menghilangkan bau peti sejuk
Selepas beberapa lama peti sejuk digunakan, biasanya ia akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Untuk menghilangkan bau tersebut letakkan arang di dalam peti sejuk. Baunya akan hilang dalam beberapa hari.
Cara hilangkan getah di pisau
Layurkan atau panaskan pisau atas api di dapur sehingga nampak getah di atas pisau mendidih. Kemudian lapkan atau sapukan pisau tadi dengan suratkhabar. Anda akan melihat pisau anda kelihatan kembali bersih. Ulangi lagi jika masih terdapat getah di permukaan pisau tersebut. Selamat mencuba.
Hilangkan Bau Nasi Hangit
Nasi yang anda masak berbau hangit? Cuba petua ini. Ambil beberapa biji cili padi. Cucukkan hujungnya ke permukaan nasi tersebut dan tutup. Biarkan seketika sehingga cili padi tadi layu atau kelihatan agak lebam, barulah bau hangit tadi akan hilang. Selepas itu nasi itu bolehlah dimakan.
Menyedapkan Sambal Sotong
Adalah elok jika sotong yang hendak kita buat sambal itu, kita celur di dalam air yang menggelegak kira-kira 3 minit supaya sambal sotong itu nanti tidak terlalu banyak kuahnya. Bila masukkan sotong ke dalam ramuan tumisan sambal janganlah masak terlalu lama kerana sotong tadi telah kira celur terlebih dahulu.
|
|
| RUU RELA, Rukun Tetangga dibentang di Parlimen |
Dua rang undang-undang yang bertujuan mengadakan peruntukan berhubung tanggungjawab, tugas dan bidang kuasa Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (RT) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, Selasa.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop membentangkan Rang Undang-Undang Rela 2012, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membentangkan Rang Undang-Undang Rukun Tetangga 2012.
Rang Undang-Undang Rela 2012 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan, tugas dan kuasa Pasukan Rela terbahagi kepada enam bahagian dan 28 fasal yang menyentuh peruntukan bagi penubuhan, tugas dan kuasa pasukan itu.
Antara peruntukan dalam rang undang-undang RELA, majikan diwajibkan memberi pelepasan kepada kakitangan yang menganggotai RELA untuk menjalani latihan, dan semasa latihan, majikan tidak boleh membuat potongan daripada gaji, mengenakan apa-apa penalti dan mengubah terma dan syarat pekerjaan semata-mata kerana ketidakhadiran kakitangannya bekerja.
Majikan yang disabit kesalahan, didapati melanggari peraturan itu boleh didenda sehingga RM6,000, dan rang undang-undang itu mencadangkan tempoh latihan bagi anggota Rela hendaklah tidak lebih sepuluh hari pada suatu-suatu masa.
- Bernama |
· toknyadat on April 18 2012 07:53:03 ·
0 Komen ·
19 Lihat ·
|

|
| Dodgeball Persahabatan 2012 |
PPR Desa Tun Razak telah dipilih untuk menerima kunjungan pelawat daripada Azrampage Dodgeball Team, USA. Pada 22hb . Mac 2012 nanti, masyarakat di sini bakal menyaksikan perlawanan persahabatan di antara Halilintar Detura Dodgeball dan juara dunia iaitu Azrampage Dodgeball Team.
En. Jamil (gambar kiri) selaku biro sukan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Tun Razak mengharapkan masyarakat di sini turut sama memeriahkan kehadiran tetamu jemputan termasuklah dari Hong Kong, Singapore, New Zealand dan Canada.
Perlawanan persahabatan tersebut akan diadakan di padang bersimen kawasan permainan kanak-kanak bermula pukul 8.00 malam. Manakala majlis perasmian akan diadakan sebelum perlawanan berlangsung oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pengerusi KRT Desa Tun Razak iaitu En. Abdul Wahab (gambar kanan) berharap mendapat kerjasama daripada pihak DBKL berkaitan kemudahan peralatan kelengkapan seperti tukar lampu limpah (cahaya kekuningan kepada cahaya putih), membaik pulih lampu limpah yang tidak bernyala dan sebagainya.
"Jemputan juga akan didedahkan dengan budaya dan makanan tempatan termasuklah mengadakan paluan kompang ketika menyambut ketibaan tetamu, pertunjukan silat, tarian 1 Malaysia dan juga hidangan kuih-muih tradisional tempatan daripada kaum Melayu, Cina dan India", jelas En. Abdul Wahab.
|
· toknyadat on March 16 2012 11:50:51
0 Komen ·
26 Lihat ·
|

| Permainan video jadi punca |
 MOSCOW - Media Rusia mula melaporkan mengenai kemungkinan pengeboman lapangan terbang Moscow minggu ini dipengaruhi permainan video Call of Duty.
Laporan berita Russia Today membandingkan babak pengeboman lapangan terbang dalam permainan itu dengan insiden sebenar yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Domodedovo, Isnin lalu.
Sekurang-kurangnya 35 terbunuh dan 180 cedera dalam serangan itu.
Permainan video Call of Duty Modern Warfare 2: yang dipasarkan pada 2009 mencetuskan kontroversi apabila membenarkan pemain menyertai pengganas Rusia bagi merancang pengeboman di lapangan terbang.
Penggunaan permainan video sebagai persediaan peperangan menjadi amalan biasa angkatan tentera di seluruh dunia. |
· toknyadat on January 28 2011 17:12:55
0 Komen ·
409 Lihat ·
|

| 400,000 buku teks BI ditarik balik |
 KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menarik balik hampir 400,000 buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) English Year 1 Sekolah Kebangsaan kerana mengandungi pelbagai kesalahan dan menggantikan dengan buku teks cetakan baru, Mac depan.
Berikutan itu, kerajaan dipercayai menanggung kerugian jutaan ringgit berdasarkan harga buku teks itu RM8.20 sebuah, namun tiada tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak kerana perkara itu disifatkan sebagai kesilapan manusia.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata sementara menunggu buku teks cetakan baru siap, guru dinasihatkan terus menggunakan buku teks berkenaan.
“Kementerian Pelajaran kesal kesalahan dalam buku teks itu dan sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa penyemakan semula bagi melakukan pembetulan. Buku teks itu akan digantikan dengan buku teks cetakan baru mulai Mac depan,” katanya.
|
· toknyadat on January 28 2011 16:57:01
Selanjutnya... ·
0 Komen ·
385 Lihat ·
|

| PERTANDINGAN MUSANG BERJANGGUT 2010 |
 Perpaduan kaum dalam negara ini sering dikaitkan sebagai aset negara yang tinggi nilainya. Aset inilah yang perlu kita semua jaga, perlu dipupuk dengan kemesraan dan seharusnya diberikan baja dari masa ke semasa.
Dari sudut pembajaan itulah sekali lagi Rukun Tetangga Desa Tun Razak Cheras memberikan tumpuan bagi mengeratkan perpaduan yang sedia ada. Kali ini satu program yang dinamakan Pertandingan Musang Berjanggut telah diadakan pada petang Ahad 27 Jun 2010 yang lalu.
'Pertandingan yang disertai oleh 30 keluarga yang terdiri dari 3 peserta sama ada ibu bersama dua orang anak atau ibu dan bapa serta seorang anak menjadikan penyertaan berjumlah 90 orang. Tiga keluarga dari kaum Cina mengambil bahagian dari jumlah enam quota yang diperuntukkan kepada kaum ini. Manakala lima keluarga dari kaum India mengambil bahagian dari sepuluh quota yang diperuntukkan sebelumnya', terang Encik Jamil bin Sapuan selaku pengerusi program yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa KRT Desa Tun Razak.
Gambar atas adalah peserta Pertandingan Musang Berjanggut telah bersedia dan tidak sabar untuk memulakan pengasingan herba masakan. Sementara gambar bawah ialah Encik Jamil bin Sapuan iaitu selaku pengerusi program yang juga menjadi Ketua Pengadil bagi pertandingan tersebut..
Pertandingan ini bertujuan memupuk kembali semangat kekeluargaan serta kejiranan setempat. Setiap keluarga diberikan satu uncang yang berisi beras dan sepuluh jenis herba masakan untuk diasingkan.
Peserta diberikan masa selama 30 minit untuk memisahkan kesemua sebelas jenis bahan masakan tersebut. Keluarga yang siap awal tidak semestinya mendapat tempat pertama kerana Ketua Pengadil akan memberi penilaian berdasarkan kebersihan serta jumlah herba yang dijumpai dalam uncang-uncang tersebut.
Hadiah-hadiah berupa perkakas elektrik untuk kegunaan rumah. Johan membawa balik sebuah tv 17 inci. Naib johan membawa pulang periuk nasi elektrik dan tempat ketiga membawa pulang pembancuh jus berkuasa elektrik. Selain itu pemenang tempat keempat dan kelima juga diberikan set cawan untuk minuman jus sebagai hadiah saguhati. Hadiah2 disampaikan oleh Pengerusi KRT En. Abdul Wahab bin Mohamad bersama-sama Jawatankuasa KRT sendiri.
Gambar bawah - kelihatan para peserta sedang tekun mengasingkan 11 jenis herba masakan yang telah dicampuradukkan dalam satu pinggan. Gambar tengah Ketua Pengadil memberikan sedikit ulasan berkenaan kriteria pemenang. Serta gambar pemenang tempat pertama bersama sebuah set tv 17 inci yang dimenangi.

|
· tokwan on June 30 2010 21:34:46 ·
|

| ELAUN BULANAN KRT DINAIKKAN RM 500 MULAI JULAI 2010 |
 Penambahan dapat bantu gerakkan aktiviti lebih aktif
KANGAR: Berkuatkuasa bulan depan, semua 4,700 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara akan menerima kenaikan elaun bulanan berjumlah RM500, berbanding RM200 sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Beliau berkata, keputusan penambahan elaun itu dibuat selepas pihaknya menerima kelulusan peruntukan tambahan RM14 juta baru-baru ini, berbanding jadual asal hanya kira-kira RM5.6 juta.
Beliau berkata, perubahan ini diharap dapat membantu KRT menggerakkan aktivitinya dengan lebih aktif selepas ini, berbanding 118,000 aktiviti membabitkan penyertaan lebih lima juta penduduk pada sepanjang tahun lalu.
"Pertambahan bermula 1 Julai ini membolehkan setiap KRT menerima elaun bulanan RM500, iaitu tambahan RM300 berbanding hanya RM200 sebulan sebelum ini.
"Jadi, kita harap semua KRT di seluruh negara akan bergerak lebih aktif terutama dalam aktiviti kemasyarakatan, termasuk membabitkan soal keselamatan kawasan kediaman melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS)," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perlis 2010 di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, di sini.
Sementara itu, Koh berkata, pertambahan elaun RM14 juta itu hanya membabitkan jadual pembayaran antara tempoh Julai dan Disember 2010.
"Buat masa sekarang, terdapat 4,700 KRT di seluruh negara dan jika ada pertambahan kelak, saya yakin bajet untuk pembayaran elaun kepada KRT akan turut dinaikkan," katanya.
|
· tokwan on June 06 2010 09:28:21
0 Komen ·
706 Lihat ·
|
|
 |
| SEMBANG DALAM FACEBOOK RUKUN TETANGGA |
 Selamat datang ke tapak web rukuntetangga dot org. Bagi anda yang berminat dengan Rukun Tetangga dan yang kerap melawat tapak web ini anda juga dijemput untuk berbual-bual (sembang) melalui laman sembang sosial Facebook kami. Mungkin kita dapat bertukar-tukar fikiran sambil berkenalan. Sila ikuti pautan ini... Link |
· tokwan on May 15 2010 17:54:01
0 Komen ·
513 Lihat ·
|

| Sambutan Hari Ibu 'U R The Great Mama' |
 Sempena sambutan Hari Ibu, Jiran Wanita KRT Desa Tun Razak telah mengadakan program yang berjudul 'U R the Great Mama' pada 16hb Mei 2010 di Dataran PPR Desa Tun Razak. Acara kemuncak ialah Pertandingan Poco-poco yang disertai oleh pelbagai kumpulan.
Turut diadakan ialah pertandingan mewarna untuk kekanak sekolah rendah dan kekanak pra-sekolah. Manakala ibu-ibu sibuk menyiapkan pelbagai masakan di dalam pertandingan memasak. Tidak ketinggalan pertandingan Ratu Kebaya / Sari serta Cheong Sam.

Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Tun Razak Encik Anuar bin Sudin dalam ucapan penutup program sehari tersebut menjelaskan bahawa peranan ibu dalam mendidik anak-anak serta keluarga dalam masyarakat adalah satu pengorbanan yang terlalu bernilai. Selain memberikan didikan permulaan dirumah, ibu-ibu juga penyumbang kepada pendidikan kerohanian anak-anak dalam masyarakat. Ditangan mereka jugalah terletaknya didikan yang baik untuk dibawa oleh anak-anak menjelang dewasa.

Sementara itu Pengerusi Rukun Tetangga Desa Tun Razak Encik Abdul Wahab bin Mohamad pula menjelaskan bahawa hampir setiap tahun KRT mengadakan sambutan hari ibu. Cuma tema atau tajuknya saja yang berbeza. Beliau akan menyarankan kepada Jawatankuasa untuk diadakan pula sambutan Hari Kekanak di peringkat Kawasan Rukun Tetangga. Selalu yang ada dalam Rukun Tetangga ialah Jiran Wanita, Jiran Muada dan Jiran Usia Emas. Namun pendekatan Jiran Tunas Harapan atau kekanak ini jarang diperhatikan. Bagi golongan ini, mereka juga tidak pernah bersuara supaya Rukun Tetangga atau Persatuan Penduduk mengadakan satu hari sambutan untuk hari Kekanak.
 |
· tokwan on May 12 2010 22:03:20
0 Komen ·
527 Lihat ·
|

| OPERASI BERSEPADU |
 Desa Tun Razak. Isnin 4hb Mei 2010. Satu Operasi Bersepadu yang melibatkan Rukun Tetangga, SRS, RELA, Persatuan Penduduk, Persatuan Silat Lincah, pihak polis dan Derektorat Perumahan DBKL telah diadakan mulai jam 11.30 malam dan berakhir jam 1.30 pagi.
Tumpuan utama operasi ialah menguatkuasa peraturan penyewa rumah DBKL yakni mereka yang membawa naik motorsikal ke tingkat atas unit rumah yang mana ianya adalah melanggar perjanjian sewa. Kesalahan lain seperti meletakkan penyidai baju di koridor, memelihara anjing dalam unit kediaman serta membuat bising sehingga mengganggu jiran-jiran.
Tuan Haji Din yang mengepalai Unit Derektorat DBKL mengucapkan terima kasih kepada yang terlibat terutama SRS dan RELA. Kedua-dua pasukan berunifom ini baru sahaja ditubuhkan. Beliau mengharapkan kerjasama sedemikian dapat diteruskan demi keharmonian semua penghuni.
Ketua Balai Polis Sungai Besi Tuan OSC Chantheran pula mengucapkan syabas kepada SRS Desa Tun Razak. Walaupun baru sebulan ditubuhkan dan tanpa unifom dan peralatan yang dibekalkan oleh Jabatan Perpaduan namun mampu menurunkan ramai anggota untuk sama-sama membuat operasi ini.

Pengerusi Rukun Tetangga Encik Abdul Wahab pula mengharapkan pihak Jabatan Perpaduan dapat mempercepatkan bekalan vest, cap, cota dan lampu picit untuk anggota SRS membuat rondaan. "Kawasan koridor gelap kerana wayar letrik telah dicuri sejak lama dulu sebelum SRS diluluskan", jelas En. Abdul Wahab sambil menepuk-nepuk tangannya akibat gigitan nyamuk.
SRS Desa Tun Razak telah dilancarkan pada 3 hb April iaitu genap sebulan yang lalu dan kini keanggotaan dalam skim ini adalah seramai 120 anggota manakala masih banyak penyertaan yang belum diproses permohonan mereka oleh pihak Jabatan Perpaduan. Jika semua berjalan lancar, skim ini akan mempunyai 2 buah kabin berukuran 20 x 12 kaki sebagai pejabat pengurusan untuk 600 anggota yang bakal ditambah. Bilangan keanggotaan yang banyak disasarkan agar giliran rondaan akan mendapat jarak yang sesuai dengan giliran setiap anggota yang membuat rondaan.
Operasi ini akan diteruskan dari masa ke semasa dan akan melibatkan jumlah anggota yang lebih kecil kerana penglibatan yang terlalu ramai menyebabkan banyak motorsikal yang biasanya dibawa naik keatas unit kediaman telah dibawa turun atau dibawa masuk kedalam unit kediaman. Ini berkemungkinan operasi tersebut telah diketahui lebih awal sebelum operasi sebenar dilakukan.
|
· tokwan on May 04 2010 05:18:56
0 Komen ·
580 Lihat ·
|

| TAKLIMAT KESELAMATAN |
 Majlis Taklimat Keselamatan dan Pencegahan Jenayah Daerah Cheras telah diadakan di Dewan Al Amin Pangsapuri Sri Penara 2 Bandar Sri Permaisuri Cheras Kuala Lumpur pada 14 April 2010 mulai jam 9:00 malam. Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Daerah Cheras Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dengan kerjasama KRT Sri Penara 2.
Majlis tersebut yang dihadiri oleh lebih 200 jemputan yang terdiri dari Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa KRT dari seluruh daerah Cheras juga melibatkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dimulai dengan taklimat SRS oleh Pegawai Perpaduan Daerah Cheras Encik Mohd Yunus bin Zainudin dengan bantuan tayangan layar slide power-point cukup memperjelaskan peranan SRS dalam menangani jenayah jalanan /ringan seperti pecah rumah, ragut, vandalism dan sebagainya.
Sementara Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras Yang Setia Tuan Supt Abd Rahim Hamzah bin Othman pula memperjelas bagaimana SRS dikawasan KRT masing-masing yang berada dalam daerah Cheras telah berjaya menurunkan kadar jenayah jalanan sehingga 37 peratus dari 1 Januari 2010 hingga 13 April 2010 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2009.

Dengan kepadatan penduduk serta jumlah taman-taman perumahan yang terdapat banyak didalam daerah Cheras menjadikan keperluan pengawasan bagi setiap anggota PDRM dari 1,700 orang kepada 3,152 orang untuk setiap seorang anggota. Pecahan bagi Balai Polis pula dengan terdapatnya 5 buah Balai Polis menjadikan Balai Polis Cheras mempunyai nisbah tertinggi yakni 1: 3,152 orang. Balai Polis Salak Selatan 1: 2,335 orang, Balai Polis Sungai Besi 1: 2,066 orang diikuti Balai Polis Salak Selatan Baru 1: 1,700 orang dan Balai Polis Pudu 1: 1,388 orang.
Dengan nibah yang tinggi jika dibandingkan dengan tempat lain diluar negara menjadikan SRS begitu penting bagi membantu PDRM khususnya mengurangi kadar jenayah jalanan / ringan. Tanpa pertolongan SRS sudah pasti amat sukar bagi setiap anggota PDRM memastikan semua penduduk dalam kawasan masing-masing berada dalam tenteraman.

Usaha-usaha terus dipertingkatkan lagi bagi mengurangi kadar jenayah jenis ini dengan mencadangkan kepada pihak DBKL untuk menambah /mengadakan lebih banyak CCTV, Cermin lengkong ditempat-tempat strategik dan pembahagi jalan yang akan memisahkan penunggang motorsikal dengan pejalan-kaki. Dengan adanya prasarana tambahan ini jenayah ragut dan rogol dapat dikurangi.
Dan dengan peranan yang ditunjukkan oleh anggota-anggota SRS dari daerah Cheras Tuan Supt mengharapkan kadar jenayah akan dapat diturunkan keparas yang lebih rendah dari yang ada sekarang atau ke paras-sifar. |
· tokwan on April 15 2010 02:57:47
0 Komen ·
637 Lihat ·
|

| Pelancaran SRS |
 Satu majlis Pelancaran Skim Rondaan Sukarela (SRS0 telah diadakan pada 3 April 2010. Dan disempurnakan oleh Yang Dihormati Tuan Supt Abd Rahim Hamzah bin Othman, Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras.
Majlis pada malam itu dimulakan dengan ucapan Pengerusi KRT Desa Tun Razak En Abdul Wahab bin Mohamad kemudian Pegawai Perpaduan Daerah Cheras Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Wil Persekutuan En Mohd Yunus bin Zainudin. Seterusnya majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Yang Dihormati Tuan Supt Abd Rahim.
Pada majlis tersebut juga seramai 39 orang Anggota SRS diberikan Kad Kuasa bagi membolehkan mereka mula melakukan tugas tondaan dalam dua syif yakni dari jam 10 malam ke jam 2 pagi dan dari jam 2 pagi hingga 6 pagi setiap hari.
Dengan adanya rondaan secara sukarela ini juga diharap indek jenayah terutama jenayah J CODE seperti ragut, pecah-rumah, merosakkan harta awam, pecah kenderaan, pergaduhan sesama jiran atau bukan jiran dan lain-lain yang seumpamanya akan dapat dikurangkan. Dan Penubuhan SRS ini sebenarnya membantu pihak Polis mengurangi kadar jenayah dalam Kawasan Rukun Tetangga dimana KRT berada.
Bersempena dengan Pelancaran SRS tersebut KRT Desa Tun Razak juga telah mengadakan Pertandingan Rebut Kerusi untuk kekanak berusia 8 hingga 11 tahun lelaki dan perempuan serta Pertandingan Kabaddi untuk kekanak berusis 12 ke 14 tahun lelaki dan perempuan.
Setiap kumpulan yang mengambil bahagian dalam pertandingan Kabaddi terdiri dari 7 orang. Permainan ini hampir menyerupai permainan Galah Panjang cuma bezanya didalam permainan Kabaddi ini mulut sipemain yang masuk kekawaan pihak lawan mestilah tidak berhenti-henti menyebut perkataan Kabaddi, Kabaddi, Kabaddi yang bermaksud Siapa Kuat.
Perkataan Kabaddi ini pula berasal dari perkataan Urdu yang asalnya disebut Khoon Badi. Perkataan khoon ialah siapa sementara badi ialah kuat. Perkataan penuh untuk ayat siapa kuat dalam Urdu disebut 'Khoon Badi hai'. Dan nyata sekali permainan ini mampu mencapai Gagasan 1 Malaysia kerana ianya disertai oleh berbilang kaum. Keutamaan yang ada pada permainan ini untuk menjadikan ianya suatu permainan Gagasan 1 Malaysia kerana ia mempunyai 'contact body'. Itulah yang menjadikan Perpaduan bertambah kukuh kerana ada sentuhan fizikal.
|
· tokwan on April 06 2010 00:01:00
0 Komen ·
786 Lihat ·
|
|
|
|
Mukasurat 1 daripada 3: 123
|
Belum jadi Ahli? KLIK SINI untuk daftar.
Lupa katalaluan? KLIK SINI untuk dapatkan katalaluan BARU.
|
|
Anda mestilah login terlebih dahulu sebelum hantar mesej.
|
|